Tutup cerita duka di Hanoi

Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Sharul Nazeem mengasak pemain Vietnam ketika aksi di Hanoi pada Selasa lalu.
FOTO: FB FAM (Gambar kecil: MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH)
Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Sharul Nazeem mengasak pemain Vietnam ketika aksi di Hanoi pada Selasa lalu. FOTO: FB FAM (Gambar kecil: MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH)
A
A
A

BARISAN pemain Harimau Malaya harus melupakan kekalahan 0-3 kepada Vietnam dalam saingan Piala AFF 2022 yang diselubungi keputusan kontroversi pengadil di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa lalu.

Justeru, skuad kendalian Kim Pan-gon itu perlu segera bangkit dan fokus menjelang aksi terakhir Kumpulan B menentang jiran tetangga, Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, aksi di Stadium My Dinh, Hanoi itu menjadi medan buat Harimau Malaya meraih pengajaran untuk meningkatkan prestasi bagi mengharungi perlawanan akan datang.

“Perlawanan di Hanoi telah pun tamat, ia sudah habis dan berlalu. Sekarang sudah sampai masanya sediakan diri untuk menghadapi aksi seterusnya menentang Singapura di Bukit Jalil nanti.

“Sebaik-baiknya lupakan aksi di Hanoi, jadikan ia iktibar untuk tingkatkan prestasi. Fokus pula Singapura dalam misi wajib menang untuk mara ke separuh akhir,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Biarpun berkongsi enam mata dengan Vietnam dan Singapura, Malaysia yang telah mengharungi tiga perlawanan setakat ini jatuh di tangga kedua.

Vietnam pula memintas kedudukan Malaysia untuk memimpin carta Kumpulan B, manakala Singapura yang turut beraksi dua perlawanan menduduki tangga ketiga.

Kedudukan itu dijangka berubah apabila Singapura menanti kunjungan Vietnam di Stadium Jalan Besar pada Jumaat, manakala dua pasukan tercorot, Myanmar dan Laos berentap di Yangon.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azraai mahu Harimau Malaya mengambil kesempatan di sebalik prestasi tidak konsisten Singapura untuk mencipta kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

“Corak permainan ada peningkatan tetapi belum mencapai tahap seperti diharapkan apabila Vietnam berada pada satu tahap berbeza berbanding Malaysia.

“Jadi, kelebihan beraksi di tempat sendiri harus digunakan sebaik mungkin. Saya harap Pan-gon sudah ada taktikal berdepan Singapura bagi memastikan Malaysia meraih tiga mata nanti,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!