1,059 terlibat aktiviti pelacuran di Selangor ditahan
SHAH ALAM - Polis Selangor menumpaskan kegiatan pelacuran dengan penahanan 1,059 individu hasil serbuan sejak Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, statistik tangkapan setakat November itu dilaksanakan hasil kejayaan 279 serbuan.
Menurutnya, jumlah tangkapan yang direkodkan terdiri daripada 41 lelaki dan 1,018 wanita terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk tempatan.
“Siasatan mendapati suspek lelaki yang ditahan dipercayai berperanan sebagai pekerja premis, ejen atau runner manakala tangkapan wanita melibatkan gadis pelayan pelanggan (GRO), pelacur dan tukang urut.
“Polis percaya kegiatan ini sering dijalankan secara individu di hotel dan sering berpindah-randah bagi menyukarkan aktiviti itu dikesan. Mereka menggunakan media sosial seperti WeChat dan MiChat untuk mencari pelanggan.
“Kegiatan tidak bermoral di hotel dikesan apabila wanita terlibat akan menempah dalam tempoh tertentu selain pergerakan yang diuruskan oleh ejen sindiket,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.
Arjunaidi berkata, mengenai jumlah bayaran ia bergantung kepada status wanita berkenaan.
Katanya, polis percaya ada pemilik hotel ini mengetahui kegiatan tidak bermoral itu namun ia ‘dibenarkan’ kerana memikirkan keuntungan bayaran bilik.
“Kita memandang serius kegiatan sebegini dan diingatkan pemilik premis untuk tidak bersekongkol dengan aktiviti haram ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Arjunaidi juga percaya terdapat kegiatan pelacuran ini yang berselindung di sebalik premis rumah urut dan pusat refleksologi.
“Kita juga kesan wanita warga asing yang datang ke Malaysia kononnya sebagai pelancong namun melakukan kerja tidak bermoral. Sebagai contoh ada kes di mana wanita ini bergerak secara freelance di pusat hiburan untuk mencari pelanggan,” jelasnya.
Tegasnya, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 373 Kanun Keseksaan selain Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!