Bilakah kes dera kanak-kanak akan berakhir?
MEMBESARKAN anak adalah tugas mencabar tetapi itu tidak memberi lesen kepada ibu bapa atau penjaga untuk berkelakuan tidak wajar hanya kerana sedang berdepan pelbagai tekanan.
Berdasarkan informasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah, di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.
Penderaan pula boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.
Penderaan kanak-kanak bukanlah isu asing di Malaysia. Ia berlaku saban tahun, malah ketika negara dilanda pandemik pada 2020, lebih 5,000 kes telah dilaporkan.
Kita pernah digemparkan dengan penderaan kanak-kanak istimewa dikenali sebagai Bella yang mengalami kecederaan. Ia mendapat liputan meluas dan perbicaraan masih berlangsung.
Terbaharu, sekali lagi kita dikejutkan dengan kematian tragis seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, dipercayai didera oleh lima rakan kakaknya di Senggarang, Batu Pahat, Johor.
Mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya berusia 19 tahun selepas ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah. Bayangkan penderitaan dilalui oleh kanak-kanak tersebut.
Dia tidak mampu menyelamatkan diri atau meluahkan penderitaannya kecuali dengan menangis.
Persoalannya, adakah hukuman kepada pelaku atau pendera di negara ini masih belum cukup berat atau belum cukup menginsafkan untuk memberi pengajaran kepada mereka yang berjiwa kejam?
Dalam hal ini, masyarakat sekeliling juga perlu sama membantu, sentiasa peka, cakna dan lebih prihatin, selain pihak berkuasa serta agensi berkaitan. Jadilah ‘mata dan telinga’ di kawasan kejiranan masing-masing.
Usah peduli jika dikatakan penyibuk atau suka jaga tepi kain orang kerana mungkin dengan menyibuk itulah, anda dapat menyelamatkan nyawa si kecil yang tidak berdosa.
Dalam kes ibu bapa yang mempunyai anak kecil tetapi menjalani hukuman di penjara, JKM harus memainkan peranan proaktif.
Satu penyelarasan perlu dilakukan melibatkan agensi kerajaan seperti JKM dan Polis Diraja Malaysia, seperti dicadangkan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin.
Atau jika ibu bapa tidak mampu menjaga si kecil, segera dapatkan bantuan.
Ingatlah, anak lahir ke dunia ini sebagai amanah untuk dijaga dengan sebaiknya, bukan dijadikan punching bag bagi melampiaskan amarah dan tekanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!