'Saya tidak berkecil hati, cuma hairan kenapa digugurkan'

Zakaria menerima keputusan MAINPP yang mengenepikan namanya sebagai Pengerusi Masjid Sungai Batu untuk penggal 2023 hingga 2025 diterima dengan hati terbuka.
Zakaria menerima keputusan MAINPP yang mengenepikan namanya sebagai Pengerusi Masjid Sungai Batu untuk penggal 2023 hingga 2025 diterima dengan hati terbuka.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengenepikan namanya sebagai Pengerusi Masjid Sungai Batu untuk penggal 2023 hingga 2025 diterima dengan hati terbuka dan berlapang dada.

Zakaria Ismail, 65, berkata, dia sama sekali tidak berasa kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh MAINPP untuk menggugurkan namanya sebagai pengerusi, biarpun memenangi jawatan tersebut menerusi undian dan pilihan daripada ahli kariah di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan sebelum ini.

Katanya, jawatan tersebut bukan perkara yang perlu diburu sebagai seorang umat Islam kerana perkara wajib yang perlu ditunaikan adalah mengimarahkan masjid dan menunaikan ibadat di dalam rumah ALLAH.

“Saya sama sekali tidak berasa kecewa apabila nama saya digugurkan oleh MAINPP sebagai Pengerusi Masjid Sungai Batu untuk penggal 2023 hingga 2025, sebaliknya digantikan dengan individu lain.

“Apa yang berlaku saya terima seadanya dengan hati terbuka dan berlapang dada, ia bukan rezeki saya. Namun perkara ini telah menjadi konflik dan isu dalam kalangan masyarakat di Pulau Pinang kerana ia dilihat ada unsur campur tangan pihak ketiga.

“Terpulanglah kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk menentukannya kerana tugas saya sebagai umat Islam adalah mengimarahkan masjid dan menunaikan tanggungjawab kepada ALLAH SWT,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Khamis.

Zakaria berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan Pengerusi baharu yang dilantik MAINPP dan anak kariah Masjid Sungai Batu.

Artikel Berkaitan:

Zakaria
Zakaria

Malah katanya, Pengerusi baharu yang dilantik menggantikannya adalah individu mencadangkan dirinya bertanding sebagai Pengerusi, sekali gus memimpin pengurusan masjid mengimarahkan dan melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan.

Menurutnya, dia dipilih menjadi Pengerusi berdasarkan pengalamannya menjadi Bendahari Masjid Sungai Batu dari 2006 hingga 2016.

Katanya lagi, tidak dipecat untuk jawatan Bendahari, tetapi dia melepaskan jawatan yang dipegang itu secara sukarela, namun masih aktif dengan semua aktiviti Masjid Sungai Batu, terlibat dengan pengurusan korban pihak masjid dan menjadi amil.

“Selain tidak mempunyai masalah atau pertelingkahan dengan anak kariah, saya juga sama sekali tidak berhadapan sebarang pertikaian dengan pihak MAINPP.

“Saya juga tidak mengejar jawatan atau merebut pangkat, namun apa yang berlaku kepada saya boleh dikatakan sebagai tidak adil kerana ia adalah pilihan ahli kariah dan kenapa saya digugurkan? Apa salah saya?” katanya.

Zakaria berkata, dia sudah ‘menghidu’ ada sesuatu tidak kena apabila dia tidak menerima watikah pelantikan, sedangkan orang lain sudah menerimanya pada 13 Disember lalu.

Tidak lama selepas itu katanya, pihak MAINPP memaklumkan namanya digugurkan di atas alasan faktor usia.

Namun dakwanya, dia mengesyaki penglibatan aktif dirinya dalam Persatuan Nelayan Pulau Pinang yang mencabar kelulusan EIA 2019 dan menentang kuat tindakan tambakan laut oleh kerajaan negeri.

“Mungkin nama saya tidak lekat dan digugurkan kerana ada orang besar kenal dengan saya dan tahu apa yang kami di persatuan nelayan perjuangkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!