Nyamuk aedes membiak, pemilik bengkel didenda RM2,000
KUANTAN – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan berjaya dalam kes pendakwaan selepas pengusaha sebuah bengkel mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan menyebabkan pembiakan nyamuk aedes di premis perniagaannya.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pemilik bengkel itu dikenakan denda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.
Menurutnya, berdasarkan pertuduhan, pemilik bengkel itu didapati melakukan kesalahan pada 21 Julai lalu, jam 10.30 pagi di sebuah kawasan di daerah ini.
"Ini adalah kes pertama yang kita dakwa di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. Sebelum pendakwaan dibuat, amaran sudah dikeluarkan dalam tempoh seminggu bagi tujuan pembersihan premis. Namun pemilik bengkel tersebut tidak mengendahkan amaran itu sehingga menyebabkan satu notis dikeluarkan terhadapnya.
"Pemilik premis itu didakwa pada Khamis dan mengaku bersalah seterusnya dikenakan hukuman denda RM2,000 serta pemilik premis itu telah membayar denda terbabit.
"Jadi, kita berharap hukuman yang dikenakan itu dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada pemilik premis bengkel yang lain bagi kepentingan kesihatan orang awam," katanya pada Jumaat.
Selain itu, Dr Nor Azimi memaklumkan di mahkamah yang sama, seorang wanita dan seorang lelaki dikenakan denda masing-masing RM300 atas kesalahan gagal mematuhi Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan).
Menurutnya, kedua-duanya atas kesalahan yang sama iaitu gagal mengimbas MySejahtera semasa negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Kes di bawah perundangan kesihatan awam ini telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Inspektorat dan Perundangan PKD Kuantan, Hasnirul Izzat Hassan,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!