Pengembara luar termasuk China perlu lalui saringan demam

Dr Zaliha Mustafa. - Foto Bernama
Dr Zaliha Mustafa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) perlu melalui saringan demam.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

Menurut beliau, sekiranya disyaki Covid-19, maka ujian Covid-19 akan dijalankan.

"Selain itu, survelan di PMA juga diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China.

"Sampel air kumbahan itu kemudiannya akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19, " ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Zaliha, bagi meningkatkan pengesanan sebarang varian baharu pula, semua kes influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) yang datang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir perlu melakukan ujian RTK-Ag Covid-19.

Jelasnya, mereka yang mempunyai sejarah kontak dengan individu tersebut juga termasuk dalam senarai perlu membuat ujian dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19.

Dalam perkembangan lain, pengisytiharan Malaysia sebagai 'Kawasan Tempatan Jangkitan' yang akan tamat pada 31 Disember 2022 dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan itu bertujuan memudah cara Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19 menggunakan peruntukkan di bawah P.U. (A) 83/22.

"Pelanjutan itu diwartakan pada 27 Disember 2022 melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 [P.U. (A) 397/2022], " jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!