Kutip 160.5kg sampah di Pantai Remis

Sebahagian kakitangan AEON BiG yang menyertai aktiviti gotong-royong mengutip sampah di Pantai Remis.
Sebahagian kakitangan AEON BiG yang menyertai aktiviti gotong-royong mengutip sampah di Pantai Remis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak 160.5 kilogram (kg) sampah dikutip hasil gotong royong Kelab Sukan dan Rekreasi AEON BiG di Pantai Remis di sini pada Rabu lalu.

Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, sebanyak 91 peratus sisa sampah itu terdiri daripada bahan plastik.

Menurutnya, seramai 73 kakitangan AEON BiG menyertai aktiviti itu yang berjaya membersihkan sampah di sepanjang kawasan berpasir dan berbatu seluas kira-kira satu kilometer (km) di pantai berkenaan.

"Pantai ini amat popular dengan pengunjung terutama pada hari hujung minggu dan sudah tentu kita ingin mengekalkan kebersihan di pantai ini," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Kakitangan AEON BiG bergambar selepas mengumpulkan sampah yang dikutip di Pantai Remis pada Rabu.
Kakitangan AEON BiG bergambar selepas mengumpulkan sampah yang dikutip di Pantai Remis pada Rabu.

Program 'Hari Pembersihan Pantai' itu turut mendapat kerjasama daripada syarikat perusahaan sosial dan persekitaran, Impactlution dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Sheikh Farouk berkata, idea yang dicadangkan kakitangannya itu sangat baik dan beliau teruja untuk menyokong kempen pembersihan pantai.

Malah, katanya, AEON BiG harus memainkan peranan aktif dalam pembinaan sesebuah komuniti yang mementingkan soal kebersihan dan keindahan pantai.

Artikel Berkaitan:

“AEON BiG bukan sekadar pasar raya sahaja dan kami amat bangga untuk membawa impak positif dalam kalangan komuniti,” ujar beliau.

Tambah beliau, acara seperti itu juga akan memupuk semangat berpasukan antara kakitangan AEON BiG tanpa mengira pangkat, terutamanya apabila bekerjasama ke arah matlamat serta tujuan yang sama.

Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi AEON BiG, Shila Kamal berkata, program itu dilaksanakan dengan jayanya dan berharap ia akan meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan kakitangan syarikat itu untuk menjaga dan memulihara alam sekitar.

"Kami ingin membawa mesej bahawa kita hanya mempunyai satu bumi untuk didiami dan ia adalah tanggungjawab semua untuk memuliharanya," jelas beliau.

Beliau memberitahu, pihaknya akan merancang lebih banyak lagi program dan aktiviti berasaskan komuniti pada masa depan.

"Perkara ini berdasarkan kepada sambutan positif dan penyertaan menggalakkan dalam kalangan kakitangan," kata Shila.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!