Selangor catat rekod tertinggi pencarum SKSSR
SHAH ALAM - Selangor mencatatkan rekod tertinggi jumlah pencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dengan merekodkan 1,042 orang sejak 1 Disember hingga 27 Disember 2022.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan memberitahu, negeri kedua tertinggi adalah Johor dengan 435 orang diikuti Perak, 319 orang.
Menurutnya, di Sabah pula, seramai 92 orang suri rumah telah mendaftar dan mencarum dengan SKSSR dalam tempoh tersebut.
"Sebanyak tiga juta suri rumah layak dilindungi SKSSR dan Perkeso menerima pendaftaran serta caruman daripada golongan itu sebanyak 3,529 di seluruh negara.
"Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk bantuan caruman SKSSR bagi suri rumah daripada golongan B40 yang berdaftar dengan skim i-Suri," jelasnya pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Perkeso mengadakan 'Program Kerjaya dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso 2022 Negeri Sabah' pada 29 Disember 2022 bagi memperluaskan perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan pencari kerja dan suri rumah.
"Kami memberi pendedahan kepada masyarakat di Sabah mengenai manfaat SKSSR, selain mengadakan Karnival Kerjaya untuk pencari kerja di negeri ini terutamanya golongan suri rumah dan juga para suami.
"Perkeso menggalakkan suri rumah supaya mendaftar dan mencarum dengan SKSSR yang memberi perlindungan kepada mereka terhadap kemalangan, penyakit dan kematian yang berkaitan dengan pengurusan rumah tangga," jelasnya.
Tambah beliau, program sehari itu juga memberi peluang kepada penduduk Sabah yang sedang mencari pekerjaan untuk menghadiri temu duga terbuka dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan, hartanah, penginapan serta makanan dan minuman.
"Lebih 1,500 jawatan kosong ditawarkan oleh 18 majikan," ujarnya.
Program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!