Tar 'cuti rehat' selepas selesai misi SAR tanah runtuh

Tar (kiri) diberi 'cuti rehat' selepas misi operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm
Tar (kiri) diberi 'cuti rehat' selepas misi operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm
A
A
A

BATANG KALI - Seekor anjing pengesan (K9) Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang dikenali sebagai Tar diberi 'cuti rehat' selama tiga hari selepas selesai terlibat misi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di sini baru-baru ini.

Pegawai Unit K9 APM, Kapten M Rageshwaran berkata, pihaknya mahu memastikan anjing tersebut cukup rehat, sihat dan bersiap siaga untuk terlibat dalam operasi lain.

"Kita bagi Tar berehat selama tiga hari selepas haiwan itu terlibat dalam operasi SAR kerana mahu Tar sihat serta bersedia untuk terlibat dengan operasi lain," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Berkongsi pengalaman Rageshwaran berkata, beliau sedang bertugas di Pusat kawalan Operasi Pusat (PKOP) Ibu Pejabat APM di Bangi telah menerima panggilan dari Pejabat APM Hulu Selangor, kira-kira jam 2.30 pagi pada 16 Disember lalu.

"Saya terus menghubungi Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) untuk pergi ke lokasi serta membuat tinjauan awal," katanya.

Rageshwaran berkata, setibanya di lokasi, beliau mendapati keadaan sangat menyedihkan dengan suara jeritan mangsa meminta bantuan.

"Pasukan penyelamat memulakan misi SAR serta membawa keluar beberapa mangsa dari lokasi runtuhan ke lokasi selamat.

"Keadaan yang berselut mencecah paras lutut dan tanah yang licin menyukarkan pergerakan kami untuk memberi bantuan kepada mangsa, selain bimbang mungkin berlaku siri runtuhan yang lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Rageshwaran berkata, salah seorang mangsa yang terselamat mendakwa isteri dan anaknya berada di dalam kereta mereka yang turut terkesan dengan tragedi tanah runtuh itu.

"Kami segera mencari keluarga tersebut serta mangsa lain, Tar juga membantu dalam operasi SAR dan telah memberikan beberapa indikator lokasi mangsa kepada pasukan penyelamat," katanya.

Pada 16 Disember lalu, seramai 92 mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan itu.

Seramai 61 daripada mereka terselamat, manakala 31 terkorban, membabitkan 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Rageshwaran berkata, beliau telah berkhidmat dalam pengurusan Unit K9 APM sejak empat tahun lalu.

"Pihak APM bersama-sama persatuan 'SAR Dog Malaysia' telah berkolaborasi dalam penubuhan unit ini pada 14 Februari 2019," katanya.

Beliau berkata, APM mempunyai dua ekor anjing pengesan jenis Labrador Retriever dan empat ekor anjing Doberman, English Springer Spaniels dan Weimaraner campuran.

"Buat masa ini, dua ekor anjing termasuk Tar boleh digerakan pada bila-bila masa untuk tujuan operasi manakala empat ekor lagi sedang dalam proses latihan untuk ditauliahkan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, anjing yang diiktiraf oleh International Search And Rescue Dog Organisation (IRO) serta United Nation (UN) Search And Rescue Advisory Group (INSARAG) dilatih untuk operasi SAR.

"Anjing K9 APM terlibat dalam operasi SAR melibatkan mangsa dalam kejadian bangunan runtuh, tanah runtuh serta mangsa hilang di hutan, gua dan tempat tinggi," katanya.

Rageshwaran berkata, setakat ini, Unit K9 APM diketuai oleh seorang pegawai, tujuh anggota pengendali K9 (handlers) dan 11 anggota 'K9 support team members'.

"Setiap pengendali K9 perlu berlatih bersama anjing kendalian, mereka juga perlu menjalani latihan 'mission readiness'.

"Ia termasuk latihan navigasi dan pengendalian alat 'electronic tracker' yang dipakaikan pada anjing K9 semasa operasi untuk memudahkan urusan pencarian serta keberadaan haiwan tersebut," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!