Ismail Sabri bangga usaha martabat Bahasa Melayu berhasil
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bangga apabila usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu mula menampakkan hasil.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, impian dan cita-citanya untuk melihat bahasa ibunda itu tersebar luas di pentas antarabangsa menjadi kenyataan apabila papan tanda di Korea Selatan menggunakan Bahasa Melayu bagi memudahkan rujukan para pelancong negara itu.
"Semestinya saya berbangga apabila Bahasa Melayu berkembang dan digunakan oleh negara asing iaitu Korea Selatan.
"Saya serta pejuang Bahasa Melayu akan terus memperjuangkan untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan di laman Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pengguna Facebook, Zakaria Azizi berkongsi beberapa keping gambar papan tanda di Korea Selatan yang menggunakan Bahasa Melayu bagi membantu pelancong asing yang berkunjung ke negara itu.
Dalam pada itu Ismail Sabri turut mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Korea Selatan atas usaha tersebut selain menganggap ia sebagai pengiktirafan kepada Malaysia.
"Saya dan seluruh Keluarga Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Korea Selatan atas usaha ini dan menganggap ia sebuah pengiktirafan kerajaan Korea Selatan kepada Malaysia dalam memartabatkan Bahasa Melayu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!