Suu Kyi berdepan hukuman penjara 33 tahun selepas sabitan baharu
ISTANBUL - Pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi bakal menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun lagi, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjaranya kepada 33 tahun.
Ini merupakan sabitan ke-15 buat Suu Kyi berhubung kes rasuah sejak tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari 2021.
Hukuman penjara terbaharu itu diumumkan oleh Majlis Tentera pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu memetik Khit Thit Media.
Pada Oktober, bekas kaunselor negara itu menjalani dua lagi hukuman penjara tiga tahun kerana 'rasuah'.
Suu Kyi berdepan pelbagai pertuduhan termasuk dakwaan penipuan pilihan raya, melanggar peraturan keselamatan awam Covid-19, mengimport walkie-talkie dan melanggar akta rahsia rasmi.
Pada Jun lepas, rejim tentera memindahkannya ke penjara dan menempatkan wanita itu dalam kurungan bersendirian.
Selepas rampasan kuasa tentera pada 24 Feb 2021, Suu Kyi diletakkan di bawah perintah tahanan rumah sehingga April tahun ini sebelum dipindahkan ke lokasi yang tidak diketahui, dipercayai Penjara Naypyitaw.
Wanita itu dipenjarakan buat kali kedua pada 2009. Rejim junta ketika itu telah memindahkannya ke Penjara Insein Yangon selama empat bulan pada awal tahun itu kerana 'melanggar peraturan tahanan di rumah'.
Kerajaan Suu Kyi digulingkan selepas partinya Liga Kebangsaan untuk Demokrasi memenangi pilihan raya pada November 2020.
Rampasan kuasa itu disusuli dengan pergolakan, manakala orang ramai mengecam penyingkirannya dan pemerintahan tentera.
Junta mengenakan tindakan ganas ke atas mereka yang melakukan protes, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa negara itu menuju kepada perang saudara.
Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan sekurang-kurangnya 2,316 orang termasuk 188 kanak-kanak, telah terbunuh di Myanmar sejak rampasan kuasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!