'Kerugian cecah RM1 juta tahun lalu jadi pengajaran'
TEMERLOH - Persatuan Penternak Ikan Sangkar Sungai Semantan Kampung Paya Kechik di sini giat membuat persediaan rapi bagi berdepan musim tengkujuh selepas mengalami kerugian besar akibat banjir pada tahun lalu.
Selain segera menyelenggara mana-mana sangkar yang rosak dan mengikatnya supaya tidak hanyut, segala perkembangan mengenai keadaan air turut menjadi perhatian.
Setiausaha persatuan, Muhammad Fikri Abdul Rahman, 31, memberitahu, kerugian hingga mencecah RM1 juta tahun lalu menjadi pengalaman dan pengajaran buat mereka.
"Kita juga merujuk pada mereka yang berada di kawasan atas Sungai Semantan jika ada mana-mana sampah, pokok besar yang hanyut dan segera alihkan kerana ia memberi ancaman kepada ikan yang diternak.
"Setiap kali musim hujan, sampah yang banyak dan lumpur menyebabkan ada sahaja ikan yang mati setiap hari dan macam sekarang boleh kata hampir 1,000 ikan mati sehari ditambah pula faktor lain seperti keadaan air.
"Macam banjir baru-baru ini, ada perdu buluh rosak hanyut telah merosakkan banyak sangkar ikan dan terdapat pokok di tebing yang tumbang ke atas sangkar penternak,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Tambah Fikri, seramai tujuh ahli persatuan itu terjejas akibat situasi tersebut dengan jumlah kerugian kira-kira RM100,000.
Dalam pada itu, beliau berharap nasib penternak di negeri ini khususnya di Temerloh mendapat perhatian sewajarnya.
"Dengan harga palet ikan yang semakin meningkat, memang perternak tertekan untuk terus mengusahakan operasi," jelas beliau harga runcit ikan patin di pasaran kini antara RM20 hingga RM22 sekilogram.
Persatuan yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun lalu kini disertai 21 ahli berusia bawah 40 tahun melibatkan 200 sangkar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!