Kenyataan isu SRC Najib adalah benar - Badan Peguam Malaysia

Tindakan tiga peguam termasuk Mohd Zaid dalam rayuan akhir kes SRC International membabitkan Najib adalah benar dari segi fakta.
Tindakan tiga peguam termasuk Mohd Zaid dalam rayuan akhir kes SRC International membabitkan Najib adalah benar dari segi fakta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Badan Peguam Malaysia dan presidennya memberitahu bahawa, kenyataan akhbar yang dikeluarkan berhubung tindakan tiga peguam termasuk Datuk Mohd Zaid Ibrahim dalam rayuan akhir kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah benar dari segi fakta dan merupakan komen berpatutan.

Badan Peguam Malaysia dan Karen Cheah Yee Lynn selaku defendan pertama dan kedua berkata demikian menerusi dokumen pernyataan pembelaan yang difailkan 7 November lalu, berhubung saman yang dikemukakan Mohd Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam selaku plaintif.

Mereka turut mengemukakan permohonan untuk membatalkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 30 September lalu.

Pembelaan ini dibuat oleh dua defendan itu, bagi menjawab saman yang difailkan plaintif-plaintif, berhubung kenyataan memfitnah yang mendakwa mereka menyalah guna dan mencemarkan sistem keadilan semasa mengendalikan rayuan akhir Najib, di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Berdasarkan pernyataan pembelaan setebal 33 muka surat, defendan-defendan itu berkata, kenyataan akhbar bertajuk 'Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System' adalah bersifat berkepentingan awam.

Malah mereka menegaskan, kandungan kenyataan itu adalah berkaitan pentadbiran keadilan dan tahap profesion undang-undang di negara ini.

"Ia juga merupakan pendapat kami tentang tindakan plaintif dalam menjalankan rayuan kes bekas Perdana Menteri itu.

"Selain itu, kami mempunyai kewajipan atau kepentingan untuk menerbitkan kenyataan akhbar di laman web, kepada ahli-ahli kami dan orang awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, defendan menyatakan bahawa, fakta dalam kenyataan akhbar tersebut diterbitkan tanpa niat jahat mengikut Seksyen 42 Akta Profesion Undang-Undang 1976 (LPA).

Kenyataan itu katanya, bukan berbentuk mengecam, menghakimi atau membuat sebarang penemuan kesalahan berkenaan sebarang salah laku pada plaintif.

"Malah bukan kami yang akan memutuskan sama ada terdapatnya sebarang salah laku oleh seorang peguambela dan peguamcara," katanya.

Sementara itu, menerusi dokumen jawapan kepada pembelaan yang difailkan 29 November lalu, plaintif berkata, kenyataan yang dibuat kedua-dua defendan bukannya berbentuk pendapat sebaliknya bersifat fitnah.

Plaintif berkata, penerbitan kata-kata defendan itu didorong oleh niat jahat, kerana bukan sahaja keterlaluan malah melebih-lebih, tidak berasas serta tidak benar.

"Kritikan yang dikemukakan oleh defendan-defendan dalam kenyataan akhbar tersebut dan media bersifat merendahkan maruahnya.

"Ia juga suatu serangan habis-habisan terhadap kedudukan dan reputasi profesional plaintif-plaintif," katanya.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 30 September lepas, ketiga-tiga plaintif mendakwa pada 19 Ogos lepas, defendan kedua telah secara salah dan berniat jahat menerbitkan kenyataan akhbar pada laman web rasmi defendan pertama dan kenyataan itu turut diterbitkan oleh The Edge Markets, Malay Mail dan The Star.

Mereka mendakwa kenyataan akhbar itu antara lain membawa maksud mereka telah menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu menghadapi prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!