Pemilu 2019: Polis Indonesia siap sedia
JAKARTA - INDONESIA. Polis Indonesia telah meningkatkan rondaan siber, menyasarkan kawasan konflik berpotensi dan menyediakan rancangan luar jangka untuk memastikan keselamatan menjelang Pemilihan Umum (Pemilu 2019) yang berlangsung esok.
Ia adalah pertama kali negara itu mengadakan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) dan Pemilu Legislatif secara serentak yang menyaksikan lebih 192 juta pengundi layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Seramai 245,000 calon bertanding dalam Pemilu kali ini dan Presiden Joko Widodo atau Jokowi bakal bersaing dengan bekas jeneral, Prabowo Subianto untuk merebut jawatan tertinggi.
Ketegangan yang semakin meningkat di beberapa kawasan di negara itu terutamanya di kawasan mempunyai bilangan penyokong sama menyebabkan polis menjangkakan insiden terburuk dan mereka telah memetakan kawasan paling cenderung kepada konflik sosial dan pertikaian.
Menurut jurucakap polis, Brigadier Jeneral, Dedi Prasetyo, Jakarta, Sulawesi Tengah, Papua dan Jawa Barat adalah wilayah paling terdedah dengan insiden keganasan. "Jika kategori bandar atau kabupaten, Tangerang Selatan, Jakarta Utara, Jakarta Barat, Pidie Raya dan Tanah Datar di Sumatera Barat adalah antara kawasan yang dikenal pasti," ujarnya lagi.
Kira-kira 272,880 anggota polis dibantu 68,854 tentera akan memantau keselamatan di pusat pengundian di seluruh negara termasuk melakukan rondaan di beberapa lokasi seperti pusat beli-belah.
Selain itu, lebih sejuta pengawal keselamatan awam bakal ditempatkan di 810,000 pusat mengundi.
"Kami telah meningkatkan rondaan siber, bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Maklumat serta badan siber dan agensi penyulitan (BSSN) untuk menyekat mana-mana kandungan yang menyebarkan berita palsu atau maklumat provokasi yang mengancam perpaduan. "Media sosial berpotensi mengubah pandangan orang ramai dan menghasut mereka melakukan protes jalanan. Ini sangat berbahaya," tegasnya. - Agensi
Info:
-Lima kad undi
Setiap pengundi perlu mengundi untuk lima peringkat kerajaan yang berbeza. Sebahagian kad undi itu dicetak dalam kertas A2. Terdapat juga kertas undi dalam tulisan braille untuk mereka yang cacat penglihatan
-Pusat pengundian ditutup 1 tengah hari
Undian akan dikira secara manual di pusat pengundian selepas ia ditutup pada jam 1 tengah hari
-Kiraan cepat tidak rasmi
Kiraan tidak rasmi akan diumumkan kira-kira seminggu kemudian, namun keputusan kiraan cepat akan dimaklumkan beberapa jam selepas pengundian berakhir. Kiraan cepat dilakukan agensi kaji selidik swasta. Sebahagian besar jumlah kiraan cepat itu terbukti tepat dalam pemilihan sebelum ini
-Keputusan rasmi
Pengumuman keputusan rasmi akan dilakukan pada 25 April hingga 22 Mei depan dan calon boleh mempertikaikan keputusan itu bermula 23 Mei hingga 15 Jun depan
-Pelantikan pemimpin
Pemenang pilihan raya itu akan dilantik untuk memegang jawatan bagi tempoh sepenggal selama lima tahun pada Oktober depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!