Kedah mara lapan pasukan terbaik Piala FA 2019
ALOR SETAR - Kedah melangkah ke suku akhir Shopee Piala FA 2019 selepas menewaskan Petaling Jaya City FC (PJC FC) di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kedah berada di hadapan seawal minit ke-2 menerusi pertahanan tengahnya, Renan Alves yang menguis masuk bola menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Mohd Muhaimin Mohamad.
Gol tersebut berpunca dari sepakan sudut oleh ketua pasukan Lang Merah, Baddrol Bakhtiar yang dihantar kepada Fernando Rodriguez dan kemudiannya ditanduk kepada Renan untuk menjaringkan gol.
Tuan rumah terus mengandakan melalui serangan pantas pada minit ke-25 dan mereka hampir menjarakkkan gol menerusi Jonatan Bauman namun percubaannya melepasi palang gol.
PJC FC cuba bangkit menerusi rangkaian serangan importnya ditunjangi Pedro Almeida dan Sergio Filho namun gagal memecahkan benteng tuan rumah.
Pada masa kecederaan separuh masa pertama, Renan sekali lagi hampir menjaringkan gol keduanya pada perlawanan tersebut tetapi sepakannya melepasi palang gol pasukan pelawat.
Usaha berterusan Lang Merah berhasil pada minit ke-54 menerusi Zaquan Adha Abd Razak yang melepaskan sepakan leret menewaskan Mohd Muhaimin buat kali kedua untuk kedudukan 2-0 selepas dia melepasi dua pertahanan PJC FC.
Selang empat minit kemudian, Rodriguez hampir menghukum pelawat buat kali ketiga namun tandukannya sedikit melepasi palang.
PJC FC kembali mengatur formasi dengan membawa masuk penyerang pengalamannya, Safee Sali pada minit ke-56 namun tetap buntu memburu gol sehingga wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!