Dakwaan data bocor: Nombor akaun bank tidak sah
SHAH ALAM - Siasatan awal Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) terhadap dakwaan kebocoran data nombor akaun Maybank mendapati bahawa akaun-akaun berkenaan adalah tidak sah atau tidak wujud.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana transaksi tidak boleh dilakukan melalui nombor akaun tersebut.
Jelas beliau, siasatan juga mendapati terdapat potensi data yang didakwa bocor adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018.
“Bagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709],” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, beliau berkongsi satu hantaran milik pengguna akaun Facebook dengan nama Pendakwah Teknologi yang mendakwa hampir 13 juta maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah bocor.
Berdasarkan hantaran pada 25 Disember lalu, sebuah laman web telah menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.
Maklumat yang dibocorkan didakwa melibatkan nama pengguna, nama penuh pengguna, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.
Oleh demikian, jelas Fahmi, KKD melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro bagi memastikan kesahihan pemilikan data.
“KKD memandang serius dakwaan kebocoran data yang dibuat sebuah laman sesawang pada 25 Disember 2022 yang lalu. Kebocoran data ini didakwa melibatkan pihak Maybank, Astro dan SPR," katanya.
Sementara itu, jelasnya, mengenai kebocoran data SPR akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709.
Tambah beliau, notis sekatan juga telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman sesawang tersebut.
“Saya ingin mengingatkan semua pengguna data agar sentiasa memastikan tahap keselamatan siber berada pada paras yang baik dan sentiasa mematuhi prinsip dan standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!