8,254 pekerja kembali bekerja selepas dapat bantuan ESO

M. Kula Segaran
M. Kula Segaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 8,254 pekerja yang menganggur telah kembali bekerja selepas menerima bantuan daripada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan (ESO) sejak Program Penempatan Pekerjaan Semula bagi Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dilaksanakan pada Ogos 2018.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan mula menyediakan perkhidmatan pekerjaan melalui Program Kembali Bekerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Program Kembali Bekerja menawarkan pemulihan fizikal dan vokasional yang komprehensif kepada pekerja yang diinsuranskan oleh PERKESO yang mengalami kecederaan atau penyakit dengan matlamat membolehkan mereka kembali bekerja," katanya pada Karnival Pekerjaan EIS PERKESO 2019 di NU Sentral, di sini, hari ini.

Program itu adalah yang pertama di Malaysia yang menyediakan sokongan penempatan individu untuk pekerja kurang upaya, berdasarkan pengurusan kes dan pendekatan penempatan individu yang termasuk memudahkan orang kurang upaya melalui temu bual, menganjurkan pameran kerjaya dan sokongan langsung di tempat kerja.

Kula Segaran berkata EIS telah menubuhkan Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan yang terdiri daripada 246 ESO yang terletak di 54 pejabat di seluruh negara.

Beliau berkata PERKESO, di bawah EIS juga telah membayar faedah sebanyak RM30.3 juta kepada 34,208 pekerja yang kehilangan pekerjaan dan memenuhi semua keperluan mulai 1 Jan 2018 hingga Mac 2019.

Bersempena dengan karnival tersebut, PERKESO juga menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan VDAB (Flemish Employment Services and Vocational Training) iaitu agensi Perkhidmatan Pekerjaan Awam utama di Belgium.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata 45 majikan dari pelbagai sektor industri menyertai karnival ITU dengan menawarkan lebih 5,000 kekosongan jawatan.

Artikel Berkaitan:

"Ini kali pertama kita menggunakan sistem pendaftaran dalam talian yang membolehkan majikan mengakses secara langsung resume calon tanpa mereka perlu mencetak banyak resume. Maklum balas majikan adalah positif kerana ia mudah digunakan semasa pameran kerjaya. Kami telah menerima lebih 1,000 pencari kerja yang hadir dan berdaftar dengan kami, " katanya.

Karnival dua hari yang bermula semalam diadakan untuk membantu orang ramai dan pencarum PERKESO yang kehilangan pekerjaan dengan memberi mereka platform melalui temu duga terbuka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!