Sidang kemuncak pertama Jong-un - Putin
SEOUL - KOREA SELATAN. Rusia sedang bersiap-sedia untuk mengadakan sidang kemuncak pertama antara Presiden Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, sekali gus menetapkan pentas rundingan untuk sekutu lama tersebut selepas pertemuan dengan Amerika Syarikat (AS) gagal mencapai sebarang perjanjian.
Kementerian Luar Korea Selatan, hari ini memberitahu rancangan itu dimaklumkan kepada delegasi diplomatik Seoul ketika kunjungan mereka di Moscow awal minggu lalu, namun tiada butiran lanjut diberikan.
Sementara itu, akhbar Maeil Business melaporkan sidang kemuncak antara Putin dan Jong-un dijadualkan berlangsung di Vladivostok pada 24 April depan sebelum lawatan pemimpin Kremlin itu ke Beijing untuk bertemu Presiden Xi Jinping pada 26-27 April.
Timbalan Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun berkata beliau dan rakan sejawatannya, Vladimir Titov berpendapat sidang kemuncak antara Presiden AS, Donald Trump dan Jong-un bukan dianggap gagal kerana rundingan langkah nyahnuklear masih perlu direalisasikan hingga mencapai matlamat asalnya.
Rusia yang menggunakan kuasa veto mereka di Majlis Keselamatan PBB (UNSC) telah berulang kali menyatakan sokongan mereka terhadap langkah mengurangkan sekatan yang telah melumpuhkan ekonomi Korea Utara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!