Rakyat Malaysia ditemukan lemas di Bali
SHAH ALAM - Seorang rakyat Malaysia disahkan meninggal dunia setelah ditemukan lemas di Pulau Nusa Penida Diamond Beach, Bali, Indonesia pada Rabu.
Menurut kenyataan dari Kementerian Luar Negeri, mayat mangsa telah dibawa pulang ke tanah air dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.15 malam, Jumaat dengan pesawat MH852.
"Mangsa dilaporkan hilang pada jam 2.50 petang Selasa ketika cuba menyelamatkan dua orang pelancong asing yang hampir lemas di pantai pulau peranginan tersebut sebelum dihanyutkan arus," katanya.
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi memudah cara pengurusan jenazah termasuk penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan untuk membolehkannya dibawa pulang dengan segera
Bagaimanapun, identiti mangsa tidak dinyatakan.
Pada masa sama, kementerian merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap agar pihak keluarga tabah dalam mengharungi masa-masa sukar tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!