WHO, pegawai China bincang situasi terbaharu Covid-19

WHO dan China mengadakan mesyuarat peringkat tinggi pada Jumaat untuk membincangkan peningkatan kes Covid-19. - Gambar hiasan
WHO dan China mengadakan mesyuarat peringkat tinggi pada Jumaat untuk membincangkan peningkatan kes Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

ANKARA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan China mengadakan mesyuarat peringkat tinggi pada Jumaat untuk membincangkan peningkatan kes Covid-19.

Pertemuan itu diadakan "untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi terkini, dan untuk menawarkan kepakaran WHO serta sokongan lanjut," Agensi Anadolu memetik agensi PBB dalam satu kenyataan.

Pegawai dari Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China dan Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan memaklumkan WHO tentang "strategi dan tindakan China yang dalam bidang epidemiologi, pemantauan varian, vaksinasi, penjagaan klinikal, komunikasi dan R&D”.

WHO sekali lagi meminta China untuk berkongsi data khusus mengenai situasi epidemiologi -- termasuk lebih banyak data penjujukan genetik, data mengenai kesan penyakit, termasuk kemasukan ke hospital, kemasukan unit rawatan rapi (ICU) -- dan data mengenai vaksinasi terutamanya membabitkan golongan rentan dan mereka yang berumur lebih dari 60 tahun.

WHO mengulangi kepentingan vaksinasi dan suntikan penggalak untuk melindungi diri daripada Covid-19 dan kematian bagi mereka yang berisiko tinggi.

China baru-baru ini mengumumkan akan mula melonggarkan langkah-langkah pandemik, dan memilih "hidup bersama Covid-19" selepas tiga tahun sekatan, penutupan sempadan dan kuarantin wajib.

Langkah itu dibuat di tengah-tengah pengumuman baharu oleh Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol yang akan menguatkuasakan peraturan perjalanan baharu untuk rakyat China, termasuk keputusan ujian negatif Covid-19. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!