Banyak negara laksana sekatan terhadap pelancong China
LONDON - Semakin banyak negara melaksanakan sekatan Covid-19 ke atas pelancong dari China dengan United Kingdom menjadi negara terbaharu pada Jumaat yang mewajibkan ujian Covid-19 sebelum berlepas.
"Mulai 5 Januari, pelancong dari China ke England diminta mengambil ujian pra-pelepasan,” lapor Agensi Anadolu, memetik Jabatan Kesihatan.
Di samping itu, Agensi Keselamatan Kesihatan UK melancarkan pengawasan dengan mengambil sampel dari penumpang yang tiba dari China mulai 8 Januari.
Perancis juga mewajibkan pelancong dari China mempamerkan ujian negatif Covid-19 dan ujian secara rawak akan dijalankan ke atas penumpang semasa ketibaan, menurut laporan media.
China baru-baru ini mengumumkan akan melonggarkan langkah-langkah pandemik, dan "hidup bersama Covid-19" selepas tiga tahun sekatan.
Langkah itu dibuat di tengah-tengah pengumuman baharu oleh Amerika Syarikat, Jepun, Itali dan Sepanyol yang menguatkuasakan langkah pencegahan Covid-19 membabitkan pelancong dari China, termasuk mempamerkan keputusan ujian negatif Covid-19. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!