Mahu tuntut ganjaran 'Touch n Go', tapi rugi lebih RM21,000
KUANTAN - Seorang wanita menanggung kerugian lebih RM21,000 selepas menjadi mangsa penipuan individu menyamar wakil Touch n Go, Khamis lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berusia 36 tahun dari Raub menerima panggilan suspek berhubung akaun e-wallet tamat tempoh dan 750 mata ganjaran belum dituntut.
Menurutnya, suspek menawarkan bantuan untuk membantu menebus mata ganjaran itu dan meminta mangsa menyerahkan nombor kad bank dan nombor kod kebenaran transaksi (TAC).
"Terpedaya dengan helah suspek, mangsa akur apabila menyerahkan nombor kad banknya bersama tujuh nombor TAC yang diterima.
"Mangsa menyedari telah ditipu apabila mendapati semua wang dalam akaun banknya berjumlah RM21,399 lesap," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ramli berkata, susulan kejadian, mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai polis di Raub.
"Orang ramai yang menerima panggilan meragukan dinasihatkan agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
"Sekiranya diminta untuk memberikan maklumat perbankan, jangan dedahkan maklumat tersebut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!