Perkemas garis panduan, elak tragedi Batang Kali berulang
SHAH ALAM - Kerajaan negeri mengambil iktibar kejadian tanah runtuh di Batang Kali dengan memperkemas garis panduan aktiviti perkhemahan bagi mengelak insiden sama berulang.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, pihaknya dalam usaha membuat bancian jumlah tapak perkhemahan di Selangor dan bakal mengadakan bengkel bersama agensi serta pemegang taruh terlibat bagi merangka draf garis panduan aktiviti berkenaan.
Menurutnya, bengkel tersebut akan membincangkan secara terperinci dan mendalam serta mengambil kiri pelbagai aspek bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
"Bengkel tersebut akan melihat elemen komersial dalam aktiviti perkhemahan seperti operator yang mengenakan caj kepada pelanggan dan bentuk lesen yang perlu diambil kira.
"Apa yang penting adalah apabila operator menyediakan perkhidmatan perkhemahan, kawasan tersebut mesti selamat dan faktor keselamatan kepada pengguna serta orang di sekelilingnya terjamin.
"Contohnya, kita boleh fikirkan aspek mewajibkan taklimat keselamatan sebelum aktiviti perkhemahan dijalankan dan apakah SOP evacuation (pemindahan) jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung langkah diambil kerajaan negeri susulan kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, 16 Disember lalu.
Beliau menegaskan, kawalan mesti dilakukan sebagai mengambil pengajaran daripada insiden tersebut namun ia tidak harus membebankan rakyat yang mahu beriadah.
"Aktiviti perkhemahan ini bukan sahaja membantu kita sihat jasmani tetapi juga emosi," katanya.
Tambahnya, sebelum ini jabatan perhutanan telah membuat larangan untuk aktiviti seperti ini di Hutan Simpan kekal dengan mengambil kira risiko terhadap perubahan iklim.
"Kami nasihatkan orang awam peka dengan perubahan iklim dan membuat penilaian risiko terhadap lokasi aktiviti perkhemahan mereka.
"Elakkan berkhemah di kawasan sungai dan hutan semasa musim tengkujuh, " katanya.
Seramai 92 mangsa terlibat dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 yang lain terkorban.
Anggota keselamatan mengambil masa sembilan hari dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian bagi mencari mangsa yang tertimbus dalam tanah runtuh tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!