Pemilihan UMNO, bukti parti masih dapat perhatian
PONTIAN - [KEMAS KINI] Gesaan pelbagai pihak termasuk akar umbi agar pemilihan UMNO diadakan secara terbuka menunjukkan parti itu masih lagi mendapat perhatian meskipun mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO perlu melibatkan gabungan muka lama dan baharu di dalam parti bagi meneruskan kesinambungan pimpinan.
Katanya, ini kerana situasi pada sekarang berbeza kerana UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang diletakkan sebagai barisan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Terima kasih kepada pihak yang memberikan pandangan terhadap pemilihan di dalam UMNO. Hal ini jelas menunjukkan UMNO masih ada lagi peminat di luar sana.
"Mereka masih berminat dengan apa yang berlaku di dalam UMNO. Apa jua, tentunya ahli-ahli lebih memahami bahawa pada ketika ini, UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan.
"Oleh itu, gabungan pemikiran pimpinan sekarang dan pimpinan yang lain adalah diperlukan untuk meneruskan perjuangan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pada ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan kejohanan bola jaring di Dewan Muafakat Taman Saujana, di sini pada Sabtu.
Hadir sama ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.
Pada Khamis, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan dilaporkan berkata, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO wajar dipertandingkan bagi memenuhi hasrat akar umbi yang mahu kepimpinan kini meneruskan perjuangan parti itu.
Jelasnya, perkara itu dikuatkan lagi dengan kewujudan 'cakap-cakap' yang menyatakan kekalahan UMNO pada PRU15 adalah kerana presidennya.
Pada Isnin, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dilaporkan berkata UMNO masih belum membuat sebarang keputusan berhubung dua jawatan tertinggi dalam UMNO itu dipertandingkan atau sebaliknya pada pemilihan akan datang.
Jelasnya, tiada sebarang ketetapan mengenai perkara itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), sehingga hari ini.
Bagaimanapun, perkara itu mungkin diputuskan pada Mesyuarat MKT Khas yang akan diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berlangsung iaitu pada malam 12 Januari nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!