Banjir: Penduduk desak kerajaan Kelantan naik taraf parit

Lebih 20 penduduk mengadakan piket aman di Taman Perumahan Wadi Iman mendesak kerajaan negeri menaik taraf sistem perparitan.
Lebih 20 penduduk mengadakan piket aman di Taman Perumahan Wadi Iman mendesak kerajaan negeri menaik taraf sistem perparitan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kira-kira 500 penduduk melibatkan 40 buah rumah di Taman Perumahan Wadi Iman, Kok Lanas di sini merayu pihak bertanggungjawab turun padang melihat kawasan perumahan itu yang sering berdepan banjir kilat sejak empat tahun lalu.

Mereka mendakwa banjir paling teruk beberapa minggu lalu mengakibatkan kerugian lebih RM100,000 akibat kerosakan perabot dan barangan keperluan rumah.

Kakitangan swasta, Muhammad Abdul Hakim Adnan, 27, berkata, kegagalan sistem perparitan menyebabkan projek perumahan kerajaan negeri itu sentiasa dinaiki air jika hujan lebat.

Menurutnya, paling teruk pada Mac lalu dan beberapa lalu apabila rumah penduduk dinaiki air setinggi 0.3 meter selepas hujan berterusan antara tiga hingga empat jam.

"Kami sudah mengutarakan masalah itu kepada pihak berkuasa tempatan dan pejabat kerajaan negeri tetapi seningga kini masih belum ada tindakan," katanya kepada pemberita di kawasan perumahan itu pada Sabtu.

Jirannya, Mohd Yusof Ahamad Fatani, 34, pula mendakwa penduduk kini trauma kerana terpaksa memikirkan keadaan rumah walaupun sedang bekerja di sekitar bandar.

Penduduk melihat parit di hadapan perumahan mereka yang mudah melimpah jika hujan berterusan.
Penduduk melihat parit di hadapan perumahan mereka yang mudah melimpah jika hujan berterusan.

Bencana yang berulang katanya, menyebabkan banyak kerosakan dan penduduk sudah kecewa kerana tiada sebarang pembaikan atau kedalaman longkang di hadapan perumahan itu.

Artikel Berkaitan:

"Ada di antara kami yang sudah tidak tahan dengan masalah ini dan terfikir mahu menjual rumah mereka. Malangnya siapa yang mahu membelinya selepas mengetahui keadaan ini," katanya.

Mohd Yusof berharap pihak berkaitan mengambil inisiatif menyelesaikan masalah itu dengan segera dan melihat secara menyeluruh sistem perparitan di situ.

Sementara itu, penduduk, Nurul Aini Mat Taib, 51, mengakui sentiasa panik jika hujan berterusan kerana perumahan itu akan terus dinaiki air.

"Kami tidak akan lena tidur kerana air deras di hadapan rumah dan naik sehingga 0.3 meter," katanya.

Tambahnya, penduduk terpaksa memikirkan untuk mengalihkan kenderaan sejauh satu kilometer dari rumah sebelum mereka terkepung banjir.

"Walaupun banjir akan surut dalam tempoh tiga hingga empat jam tetapi kami bukan orang senang kerana banyak peralatan yang perlu dibaiki dan tukar setiap kali banjir," katanya.

Sebelum itu, lebih 20 penduduk mengadakan piket aman di taman perumahan itu mendesak kerajaan negeri menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Marinamarican Abdullah berkata, masalah perparitan di Taman Wadi Iman itu sudah dalam pengetahuan pihaknya dan bakal diselesaikan.

Beliau memberitahu, projek perparitan yang dianggarkan menelan kos RM3 juta itu akan dilaksanakan awal tahun depan.

“JPS sedang dalam proses penilaian tender bagi memilih kontraktor yang layak dan insya-ALLAH akan dimulakan pada Mac tahun depan” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!