Lelaki terkejut 'king cobra' bawah sofa
KUALA PILAH - Seorang lelaki bernasib baik apabila menyedari kehadiran seekor ular tedung selar atau dikenali 'king cobra' seberat kira-kira tujuh kilogram di bawah sofa rumahnya di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ulu Bendul pada Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu disedari penghuni rumah berusia 40 tahun itu ketika sedang menonton televisyen di ruang tamu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Pilah, Leftenan (PA) Mohamad Ghazali Abd Rahim berkata, sepasukan anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 12.20 tengah hari.
"Seramai empat anggota APM telah ke lokasi dan sebaik sampai pengadu memaklumkan telah melihat ekor ular berkenaan di bawah sofa rumahnya.
"Ular terbabit yang lebih dikenali sebagai 'king cobra' sepanjang kira-kira lima meter dengan berat tujuh kilogram berjaya ditangkap selepas beberapa minit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, reptilia itu kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!