Pengusaha Tanaman Anggur
Pengusaha pusat semaian dan anak pokok, Mohd Hisham Md Isa, 49, memetik buah anggur yang tumbuh subur di premisnya di Kampung Batu 7, Simpang Empat, Alor Setar, hari ini.
Mohd Hisham ketika ditemui berkata, kira-kira 50 jenis anggur yang ditanam sejak beberapa bulan lalu kini mula berbuah di sekitar premisnya itu. Antara anggur yang popular ditanam berasal dari Amerika Syarikat, Ukraine, India seperti Akademik, Gosbe, Jupiter, Scarlet Royal, Lorano dan Ara.
"Persepsi mengatakan buah anggur tidak sesuai ditanam di Malaysia adalah salah, kerana kebanyakan yang saya tanam di sini tumbuh subur, berbuah lebat, manis serta besar. Kita boleh mencuba kerana cuaca di Malaysia semakin sesuai ketika ini, malah tanaman ini tidaklah susah mana, hanya perlu panas dan kurangkanya air serta pembajaan yang mencukupi," katanya.
Katanya, orang ramai boleh datang untuk melihat sendiri bagaimana tanaman ini diusahakan dan jika bernasib baik mereka boleh menikmati sendiri buah yang dipetik segar dari pokok.
Selain anggur, beliau turut menjadi pembekal pokok Vinca atau Kamunting Cina dan Pokok Tin yang kini semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada peminatnya. - Foto Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!