Penonton maut dirempuh kereta di litar

Tangkap layar memaparkan dua kereta bergesel lalu terbabas dalam acara permotoran di Kampung Gajah, Pasir Salak pada Sabtu. - Foto Ihsan pembaca
Tangkap layar memaparkan dua kereta bergesel lalu terbabas dalam acara permotoran di Kampung Gajah, Pasir Salak pada Sabtu. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

PASIR SALAK - [DIKEMAS KINI] Seorang pengusaha bengkel maut dirempuh kereta jenis Proton Satria ketika menyaksikan acara permotoran di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 32 tahun berada di tepi litar untuk menyaksikan pertandingan melibatkan 12 kenderaan bagi kategori 1800cc.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila dua kenderaan gagal mengawal kenderaan ketika bergesel semasa menghampiri garisan penamat.

"Salah sebuah kenderaan telah terbabas ke kanan lalu memasuki bahagian berumput yang ketika itu terdapat beberapa penonton sedang berdiri.

"Kereta terbabit terlanggar salah seorang penonton yang berada dalam jarak 9 meter dari laluan litar. Tiada mangsa lain yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah diberi rawatan oleh pasukan perubatan yang bersedia di lokasi perlumbaan.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sekitar jam 5 petang ketika menerima rawatan di wad kecemasan, Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, Parit.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat mengalami kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Yusri, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!