Pemandu tular potong garisan berkembar dipanggil beri keterangan
BENTONG - Polis akan memanggil pemandu pacuan empat roda untuk memberikan keterangan susulan tular klip video memaparkan kenderaan itu dipercayai memotong garisan berkembar di jalan lama Bentong-Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, tindakan itu diambil selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong telah menjalankan siasatan awal untuk mengesan pemandu tersebut.
Menurutnya, klip video berdurasi 31 saat tular di satu laman Facebook yang dimuat naik oleh seorang lelaki warganegara tempatan.
"Semakan awal mendapati kenderaan tersebut memiliki empat kesalahan trafik lampau antaranya adalah memandu laju.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM15,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu Zaiham memohon mana-mana pihak yang melihat kejadian yang melanggar undang-undang jalan yaya untuk tampil memberi maklumat.
"Pihak polis juga menasihati pemandu terbabit supaya hadir ke pejabat BSTPD Bentong bagi membantu siasatan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!