Harapan tahun baharu rakyat
SHAH ALAM - Membuka tirai 2023, lebih 32 juta rakyat Malaysia berdoa dengan harapan negara ini terus berada dalam keadaan aman tanpa sebarang unsur yang boleh mengganggu-gugat kestabilan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
Tinjauan Sinar Ahad mendapati ramai mengharapkan ekonomi negara kembali kukuh, politik lebih stabil, kos sara hidup dapat diturunkan, harga barang keperluan lebih terkawal, gaji pekerja lebih baik, peluang pekerjaan lebih banyak dan tidak perlu berkurung sekali lagi oleh pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, pemulihan ekonomi dan penurunan harga barangan menjadi dua perkara penting yang harus ditangani segera oleh kerajaan pada tahun 2023.
Peguam dari Ipoh, Perak, Ng Xin Ru, 25, berharap kestabilan politik dapat dikekalkan untuk kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha memastikan negara bersedia menghadapi beberapa kemungkinan pada tahun ini termasuk kemelesetan ekonomi dan penularan Covid-19.
“Saya harap kerajaan akan ambil langkah-langkah proaktif untuk menyediakan negara menghadapi situasi tersebut. Kesediaan sektor kesihatan juga harus diberikan perhatian dengan keadaan penularan di China ketika ini,” ujarnya.
Peniaga nasi lemak, Mala Arulanandam, 47, pula meminta kerajaan mengawal harga barang keperluan asas seperti ayam, minyak masak, telur dan sayur yang masih tinggi sekarang.
“Harga barang-barang ini yang mahal bukan sahaja buatkan belanja dapur saya bertambah setiap bulan malah kos modal untuk berniaga juga tinggi.
“Selain harga mahal, ada beberapa barangan susah nak dapat dan cepat habis stok contohnya telur, gula dan minyak masak peket. Jadi kerajaan kena pastikan semua barang keperluan ini cukup untuk pengguna,” katanya.
Bagi pembantu kedai telekomunikasi, Nur Shakilla Hati, 23, kos sara hidup yang tinggi ekoran kenaikan harga barang benar-benar membebankan rakyat terutama golongan B40.
“Walaupun saya baru kahwin dan ada seorang anak berusia dua tahun, belanja dapur keluarga saya sebulan lebih RM300 sebab semua barang keperluan harian mahal.
“Contohnya minyak botol lima kilogram masih lagi mahal iaitu RM30 ke atas. Minyak peket pula cepat habis. Jadi kerajaan kena kawal harga barang-barang keperluan asas ini," ujarnya.
Pekerja kaunter khidmat pelanggan, Ruban Ramu, 20, turut menggesa kerajaan menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat yang tinggi.
“Harga makanan sekarang mahal, saya sendiri makan nasi sekali sahaja sehari iaitu ketika sarapan pagi.
“Sepatutnya barang-barang keperluan harian perlu diberikan subsidi kerana kalau barang-barang ini naik harga secara berterusan, selagi itulah kos sara hidup akan terus meningkat,” jelasnya.
Sementara itu, guru agama, Wan Muhammad Zawawi Wan Hassan, 40, berharap supaya kerajaan segera memulihkan ekonomi dengan memperbanyak peluang pekerjaan.
“Selain itu, kerajaan kena pastikan politik kekal stabil serta keharmonian antara kaum dan agama di negara ini kekal terpelihara,” katanya.
Pekerja kedai pakaian, Nani Obet, 40, memberitahu, dia mengharapkan Bank Negara Malaysia tidak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kerana ia turut menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup.
“Kalau nak kawal inflasi pun gunalah cara lain sebab kenaikan pinjaman bank akan beri tekanan berterusan kepada peminjam dan juga penyewa rumah,” ulasnya.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat swasta, Datuk Dr Leom Joo Deck, 66, kerajaan wajar memberi tumpuan untuk terus merancakkan ekonomi agar lebih ramai pelabur datang ke negara ini.
“Sekarang keadaan ekonomi masih lagi lembap, jadi kerajaan kena agresif untuk tarik pelabur asing dan hentikanlah pergaduhan antara ahli politik berlainan parti kerana ia hanya membazirkan masa serta membuatkan orang luar nampak negara kita masih tak stabil,” ujarnya.
Bagi peniaga dan penerbit buku dari Petaling Jaya, Kiridaren Jayakumar, 30, dia berharap kerajaan dapat membangunkan pelbagai inisiatif bagi membantu merangsang aktiviti perniagaan di dalam negara.
“Sebagai contoh, untuk industri buku, kerajaan mungkin boleh menganjurkan lebih banyak pesta buku di negeri-negeri di seluruh negara dengan yuran penyertaan berpatutan kepada peniaga selain mewujudkan satu lokasi khusus untuk jual beli buku,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!