Tak sedar kereta dah lima tahun tamat 'road tax'

Anggota penguat kuasa JPJ melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan pada sekatan jalan raya Ops Khas Ambang Tahun Baru 2023 JPJ Pahang di Jalan Tanjung Lumpur di sini pada Sabtu.
Anggota penguat kuasa JPJ melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan pada sekatan jalan raya Ops Khas Ambang Tahun Baru 2023 JPJ Pahang di Jalan Tanjung Lumpur di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Memandu kereta dengan cukai jalan tamat tempoh sejak 2017 antara kesalahan yang dikesan dalam Ops Khas Ambang Tahun Baru 2023 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang di Jalan Tanjung Lumpur di sini pada Sabtu.

Pemandu kereta, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an memberi alasan tidak munasabah kononnya tidak sedar cukai jalan kereta dipandunya telah tamat tempoh hampir lima tahun.

Akibatnya, kereta jenis Proton Saga itu telah disita dan saman dikeluarkan terhadap pemandunya.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, kesalahan melibatkan lesen memandu dan cukai jalan antara kes tertinggi yang dikesan dan diambil tindakan dalam operasi yang diadakan serentak di empat lokasi di Pahang.

Menurutnya, sepanjang operasi bermula jam 8 malam hingga 2 pagi itu, sebanyak 2,692 kenderaan diperiksa, 285 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dan empat kenderaan disita.

"Sebanyak 480 notis dikeluarkan termasuk 402 saman dan 78 lain-lain notis.

"Kesalahan utama yang dikesan termasuk kesalahan teknikal, 118 kes diikuti tiada lesen memandu, 110 kes dan cukai jalan tamat tempoh, 82 kes," katanya ketika ditemui pada operasi di Jalan Tanjung Lumpur di sini pada awal pagi Ahad.

Kamarul Iskandar berkata, selain di Jalan Tanjung Lumpur di sini bagi zon timur, ops itu turut dilaksanakan di Kilometer (KM) 6 Jalan Raub-Bentong, Bentong (Zon Barat), KM18 Jalan Bukit Ibam-Leban Chondong, Rompin (Zon Tenggara) dan di Jalan Tanjung Lalang, Temerloh (Zon Tengah).

Artikel Berkaitan:

Kereta jenis Proton Saga yang disita kerana cukai jalan tamat tempoh sejak 2017
Kereta jenis Proton Saga yang disita kerana cukai jalan tamat tempoh sejak 2017

"Operasi ini disertai 77 anggota dan pegawai terdiri 45 dari JPJ, polis (15), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) (9), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (5) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)(3)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam operasi sama, sebanyak 17 saman dikeluarkan pihak polis hasil pemeriksaan ke atas 109 kenderaan.

"Pihak JPN pula melakukan pemeriksaan ke atas 73 individu dan empat kes dikesan iaitu memiliki dua kad pengenalan serta gagal mengemukakan dokumen itu.

"Pihak AADK turut melakukan pemeriksaan ke atas beberapa individu namun tiada kes positif dadah dikesan," katanya.

Menurutnya lagi, JPJ Pahang memandang serius terhadap kesalahan melibatkan lesen memandu dan cukai jalan yang sering menyumbang jumlah tertinggi statistik kes dalam operasi yang dijalankan sebelum ini.

"Masih ada yang berani menunggang atau memandu tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh walaupun tahu kesan dan akibatnya sekiranya berlaku kemalangan atau ditahan pihak berkuasa.

"Saya ingatkan pengguna jalan raya supaya menitik beratkan peraturan dan undang-undang jalan raya demi kebaikan bersama," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!