Lampard tabik karakter luar biasa Everton
PENGENDALI Everton, Frank Lampard percaya watak, keazaman dan perjuangan yang dipamerkan The Toffees ketika mengikat penyandang juara Manchester City 1-1 pada Sabtu, satu contoh yang perlu diperkukuhkan pada masa depan.
"Saya percaya perwatakan, personaliti dan semangat juang merupakan elemen terpenting dalam permainan kerana ia 11 lawan 11 dan kita tahu betapa bagusnya City di Stadium Etihad.
“Ia juga bukan pelan permainan bertahan yang rumit, sebaliknya banyak perkara dilalui di sini dan setiap pemain melakukan tugas dengan sempurna tidak kira apa pun. Ini mesti menjadi pelan tindakan ke hadapan.
“Saya meminta persembahan terbaik sebaliknya mereka memberikan sesuatu yang luar biasa," kata Lampard pada sidang akhbar.
Pada perlawanan di Stadium Etihad itu, The Toffees terlebih dulu ketinggalan satu gol minit 24' selepas Erling Haaland membuka jaringan untuk City pada separuh masa pertama.
Namun Everton bangkit kembali untuk satu mata hasil sentuhan menakjubkan Demarai Gray pada minit ke-64 menewaskan Ederson.
Dengan 11 minit masa ditambah pada separuh masa kedua, Everton bertahan penuh berdisiplin gelombang serangan City yang tidak henti-henti.
Lampard juga gembira melihat para pemainnya bertindak balas positif terhadap tugasan berdepan Manchester City tersebut.
"Kami berhak mendapat satu mata dan ia adalah satu mata yang besar untuk pasukan selepas memori menentang Wolves sebelum ini, di mana saya rasa kami bermain dengan baik dan boleh menang.
"Untuk datang menentang penyandang juara dengan bangkit mendapatkan sesuatu kembali dalam perlawanan yang sukar adalah cabaran besar buat pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!