Kes penonton maut dirempuh, Perak tunggu laporan penuh

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mendapatkan laporan penuh penganjuran sukan permotoran yang meragut nyawa seorang penonton di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah pada Sabtu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, pelbagai aspek perlu diteliti terlebih dahulu terutama isu keselamatan di litar berkenaan sebelum mengambil tindakan susulan.

"Aspek keselamatan adalah mengikut peraturan yang digariskan badan induk sukan bermotor.

"Acara seperti ini perlu ada marsyal, pihak teknikal dan mereka perlu mengambil kira keselamatan penonton, pelumba, pegawai bertugas dan sebagainya.

"Bagi kes ini sama ada penganjur mematuhi peraturan atau tidak, ia bergantung kepada laporan pihak berkuasa," katanya.

Beliau ditemui media pada pelancaran Tahun Melawat Ipoh 2023 dan program Starvendors Foodtival X #travelperaklah 2022 di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

Menurut Khairudin, pihaknya tidak berkompromi terhadap pengabaian ciri keselamatan di setiap acara sukan bermotor.

Tambah beliau, pihak penganjur seharusnya bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam melaksanakan program tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan seorang pengusaha bengkel maut dirempuh kereta jenis Proton Satria ketika menyaksikan acara permotoran di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 32 tahun berada di tepi litar untuk menyaksikan pertandingan melibatkan 12 kenderaan bagi kategori 1800cc.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!