City tidak kecewa sekadar seri
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola tidak mahu menyalahkan pemainnya selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Di Stadium Etihad pada Sabtu.
Menurutnya, pemain sudah memberikan aksi terbaik, namun mengakui Everton tampil dengan taktikal lebih berkesan untuk mengikat penyandang juara EPL itu.
Malah, dia percaya peluang untuk City menjuarai EPL masih terbuka walaupun dibezakan tujuh mata dengan pendahulu liga, Arsenal.
"Perlawanan yang hebat. Kami telah bermain dengan sangat baik dalam tiga perlawanan terakhir dan ia membuatkan saya optimis.
"Kegagalan memungut mata penuh di laman sendiri sentiasa sukar, tetapi saya sentiasa cuba memastikan persembahan pasukan bagus.
"Saya melihat mereka (Everton) mempunyai lapan pemain di bahagian pertahanan. Mereka juga membuat gol yang hebat, tetapi secara umumnya kami melakukannya dengan sangat baik," katanya.
Penyerang sensasi City, Erling Haaland terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-24 sebelum Demarai Gray menyamakan kedudukan pada minit ke-64.
Dalam pada itu, pertahanan City, John Stones beranggapan sebaliknya dan menegaskan kehilangan dua mata sebagai sesuatu yang amat merugikan.
"Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Saya rasa kami hilang dua mata, namun itulah bola sepak.
"Kami mengawal permainan dan mempunyai banyak peluang, tetapi kami tidak dapat menjaringkan gol," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!