Pelajar rugi RM57,448 terpedaya tawaran kerja sambilan
KUANTAN - Seorang pelajar sebuah politeknik kerugian lebih RM57,000 selepas menjadi mangsa iklan tawaran kerja sambilan secara dalam talian tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan.
Mangsa berusia 19 tahun tertarik dengan tawaran yang diiklankan melalui laman sosial Instagram yang dilayari pada 19 Disember lalu walaupun terpaksa melaburkan modal terlebih dahulu bagi mendapatkan pulangan lumayan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, teruja dengan tawaran lumayan dijanjikan, mangsa sanggup meminjam wang dari rakan dan menggunakan wang persaraan bapa serta simpanan sendiri untuk menyertai pelaburan tersebut.
Menurutnya, mangsa telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram dalam melaksanakan tugasan diberikan saspek sehingga membuat lima kali pindahan wang ke lima akaun bank yang berlainan.
"Selepas pindahan wang dibuat, mangsa menyedari pelaburan itu tidak wujud dan menanggung kerugian RM57,448.
"Ekoran kejadian, mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai polis di Rompin," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman sosial yang meragukan.
"Periksa terlebih dahulu kesahihah tawaran yang diiklankan.
"Buat semakan nombor akaun yang diterima melalui pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!