'Bubar NTF tak bermakna kawalan perairan negara longgar'

Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som
Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som
A
A
A

SHAH ALAM - Pembubaran Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) tidak bermakna kawalan perairan negara menjadi longgar, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Menurutnya, NTF diwujudkan bagi membendung penularan Covid-19 oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini melalui jalan laut dan darat.

"Maka NTF melalui pelaksanaan Operasi Benteng berupaya menyekat kemasukan PATI dengan lebih ketat melibatkan gabungan 18 agensi.

"Dengan pembubaran NTF, tidak bermakna sempadan perairan negara akan menjadi longgar atau mudah dibolosi PATI," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, umumnya kesiapsiagaan aset Maritim Malaysia sebelum, semasa dan selepas pandemik Covid-19 adalah tidak berubah dengan penempatan serta bilangan aset yang digerakkan setiap hari (24 jam).

Maritim Malaysia menyekat sebarang kegiatan jenayah di laut bagi memastikan kedaulatan perairan negara terjamin.
Maritim Malaysia menyekat sebarang kegiatan jenayah di laut bagi memastikan kedaulatan perairan negara terjamin.

Katanya, Maritim sentiasa serius dalam sebarang penugasan operasi termasuk dalam memperkasakan kesemua operasi khas iaitu Op Khas Naga, Op Khas Kuda Laut, Op Tanjung, Op Raja Laut, Op Jangkar Haram dan Op Pelantar Merah.

"Kita menitikberatkan kesiapsiagaan dari segi kebolehupayaan aset di perairan Malaysia.

"Selain itu, Maritim juga melaksanakan operasi rutin harian secara berjadual di setiap perairan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Keberadaan aset di seluruh perairan negara telah ditetapkan mengikut petunjuk prestasi utama (KPl) iaitu minimum 45 buah aset harian yang beroperasi di mana pada ketika ini Maritim berjaya menugaskan aset melebihi dari KPI tahunan bagi menjamin ketenteraman dan kesejahteraan negara pada keseluruhannya," jelasnya.

Tegasnya, bagi memastikan kedaulatan perairan negara terjamin, Maritim mempertingkatkan operasi bersama dan bersepadu dengan pelbagai agensi sama ada dalam mahu pun luar negara.

Selain itu, kata Mohd Zubil, pihaknya juga dalam usaha menaik taraf sistem sedia ada seperti Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA).

"Dalam memastikan kesejahteraan perairan negara, kita akan memfokuskan ke arah Pelan Strategik 2040 dari segi pembangunan prasarana, fasiliti, penambahan dan penggantian aset laut serta udara selain penambahan keanggotaan bagi mencapai matlamat Pelan Strategik 2040," ujarnya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan, NTF yang bertanggungjawab atas pengendalian Op Benteng sejak 2020, dibubarkan secara rasmi pada 31 Disember 2022.

Pembubaran NTF yang beroperasi selama dua tahun, tujuh bulan dan 25 hari itu diumumkan oleh Panglima Angkatan Tentera (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!