Dua lelaki Orang Asli maut dalam kemalangan
HULU SELANGOR - Dua lelaki Orang Asli maut apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan kereta dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Rasa-Bukit Beruntung, di sini kira-kira jam 7.15 pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kedua mangsa berumur 34 dan 35 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Beruntung menghala ke Batang Kali.
Motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berumur 56 tahun," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!