Bekas Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia meninggal dunia

Abd Jalil meninggal dunia di kediamannya di Ampang Jaya, Selangor akibat sakit tua pagi Ahad. - Foto Facebook Rugby Malaysia
Abd Jalil meninggal dunia di kediamannya di Ampang Jaya, Selangor akibat sakit tua pagi Ahad. - Foto Facebook Rugby Malaysia
A
A
A

BEKAS Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) yang juga bekas Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan Abd Jalil Borhanuddin meninggal dunia di kediamannya di Ampang Jaya, Selangor akibat sakit tua pagi Ahad.

Berita pemergian Allahyarham yang berusia 68 tahun itu dikongsikan anaknya yang juga Naib Presiden KRM, Fahmy Abd Jalil ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.

Ayah memang ada menghidap kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak dua tahun lepas dan menerima rawatan berkala di hospital. Pukul 5 pagi tadi kita ada kejutkan dia untuk makan ubat tapi kira-kira pukul 6.30 pagi bila adik kejutkan untuk (solat) subuh, kita sedar dia dah tak ada.

"Ayah seorang yang tak cakap sangat, dia juga ada strok ringan jadi tak dapat berkomunikasi dengan baik, dua tiga hari lepas dia ada maklumkan dah tak rasa kaki dia...tak sangka dia pergi secepat ini,” katanya.

Mengenai keperibadian Allahyarham, Fahmy berkata, beliau merupakan seorang ayah yang penyayang dan kelakar selain sangat komited terhadap kerjayanya dalam arena sukan ragbi negara.

"Dia memang ‘menghambakan’ dirinya untuk sukan ragbi, sejak muda lagi, dia juga pernah main untuk pasukan negara pada 1981 hingga 1987, jadi, kecintaannya terhadap sukan itu sangat tinggi. Saya rasa memang kehilangan besar untuk arena ragbi,” katanya.

Allahyarham yang meninggalkan isteri dan lima anak itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Tampin selepas Asar.

Abd Jalil merupakan Presiden KRM sejak 2002 hingga 2005 dan Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Sembilan (1992-2019) selain turut menubuhkan kelab ragbi iaitu NS Wanderers Rugby Club Malaysia sejak 1984 hingga kini yang dianggotai lebih 2,000 ahli. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!