Pelancong asing berbikini cemar imej Pulau Besar
ALOR GAJAH - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan membuat perbincangan dengan pihak berkaitan bagi memastikan Pulau Besar tidak lagi dicemari dengan individu mengenakan pakaian mencolok mata.
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, perkara itu bagi memastikan agar insiden tular membabitkan pelancong warga asing berbikini di pulau itu tidak berulang hingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang Islam.
Menurutnya, tindakan terbaik akan dibincangkan terhadap pelancong asing yang merosakkan imej Pulau Besar yang selama ini dihormati dengan nilai-nilai sejarah bermulanya tamadun Islam.
Katanya, perbincangan pada Selasa ini juga akan disertai bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Pulau-pulau Melaka (MPPM).
"Insiden itu tular di media sosial sehingga telah menimbulkan rasa tidak senang orang awam.
"Memandangkan perlakuannya bukan individu beragama Islam, jadi tidak ada enakmen untuk bagi kesalahan tersebut," katanya ketika ditemui di Rembia di sini pada Ahad.
Jelas beliau, Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 hanya terpakai untuk mereka yang beragama Islam.
"Sebagai tindakan awal kita akan meminta kerjasama daripada pengusaha bot dan penginapan serta Rakan Setia Bersama JAIM untuk menegur mana-mana individu yang berpakaian tidak sopan.
"Kita cadang untuk letakkan juga papan tanda peringatan untuk pelancong agar berpakaian yang sesuai," katanya lagi.
Baru-baru ini tular video berdurasi 2.52 minit di media sosial, Facebook yang memaparkan sekumpulan pelancong dipercayai warga asing berbikini untuk bermandi-manda di pantai berkenaan.
Klip tersebut dikongsi oleh lebih 1,600 pengguna Facebook dengan rata-rata netizen mengecam tindakan pelancong berkenaan dan didakwa akan menjadi punca berlakunya bencana besar.
Pulau tersebut dikaitkan dengan pelbagai peristiwa misteri serta lagenda apabila menjadi lokasi persemadian tokoh besar dalam sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!