Pemandu maut kereta terbabas langgar pokok sawit

Keadaan Perodua Myvi dipandu mangsa yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 157 Jalan Kuantan-Seremban dekat Muadzam Shah di sini pada Ahad.
Keadaan Perodua Myvi dipandu mangsa yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 157 Jalan Kuantan-Seremban dekat Muadzam Shah di sini pada Ahad.
A
A
A

ROMPIN - Seorang pemandu maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar pokok kelapa sawit di Kilometer 157 Jalan Kuantan-Seremban dekat Muadzam Shah pada Ahad.

Dalam nahas yang dilaporkan kira-kira jam 8.20 pagi itu, Mohamad Badrol Amin Mohd Nor, 22, beradari Felda Keratong 08 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang juga pekerja sebuah kilang sawit memandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Muadzam Shah.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kanan dan terlanggar sebatang pokok kelapa sawit.

"Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah dibantu anggota dari BBP Seri Jempol ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, pihaknya mendapati pemandu tersepit dan disahkan telah meninggal dunia.

"Anggota bomba terlibat terpaksa menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!