Lari ke Batu Gajah lepas bunuh isteri di Puchong

Lokasi kejadian kes pembunuhan yang berlaku di hadapan rumah kedai di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor pada 16 Disember lalu.
Lokasi kejadian kes pembunuhan yang berlaku di hadapan rumah kedai di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor pada 16 Disember lalu.
A
A
A

SERDANG - Seorang lelaki warga Indonesia yang melarikan diri selepas dipercayai membunuh isterinya di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara, Puchong 16 Disember lalu akhirnya diberkas di Batu Gajah, Perak, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, suspek berusia 27 tahun itu diberkas kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dengan kerjasama Balai Polis Batu Gajah.

Menurutnya, soal siasat suspek mengaku memukul kepala isterinya menggunakan sepana dalam kejadian 16 Disember lalu, sebelum melarikan diri.

"Siasatan awal mendapati suspek telah berkahwin dengan mangsa yang juga warga Indonesia kira-kira enam tahun lalu dan mempunyai empat anak berusia satu hingga lima tahun.

"Pergaduhan pasangan terbabit dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang mengambil wang simpanan berjumlah RM6,000 dan menghantarnya ke kampung tanpa pengetahuan suspek," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, suspek yang juga penganggur itu kini direman 14 hari bermula Ahad untuk siasatan lanjut.

Katanya, semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!