Tapir sesat di ruang parkir hotel
MELAKA - Orang ramai yang berada di sebuah hotel di Banda Hilir terkejut apabila seekor tapir betina tersesat di ruang parkir tingkat lima bangunan berkenaan di sini pada pagi Ahad.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II, Sofian Hassan berkata, lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.04 pagi sebelum tapir itu dapat ditangkap pada jam 1.59 petang.
Menurutnya, pasukan keluaran operasi (PKO) yang tiba di lokasi kejadian mendapati seekor tapir betina berada di tingkat lima hotel bersebelahan Dataran Pahlawan.
"Memandangkan ia adalah haiwan liar yang dilindungi jadi kita telah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk bantuan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd Firdhaus Mahmood berkata, sejak dua minggu lalu pihaknya telah menerima aduan orang awam yang ternampak haiwan berkenaan.
Menurutnya, tapir betina yang dianggarkan berat sekitar 250 kilogram itu dipercayai berkeliaran di kawasan sekitar untuk mencari makan.
"Sebelum ini, kita ada terima aduan tentang kehadiran tapir di sekitar kawasan ini, namun belum dapat ditangkap.
"Apabila ia ditemui terperangkap jadi kerja-kerja menangkap lebih mudah dan tapir betina itu dapat diselamatkan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan spesies tapir itu mempunyai habitat sekitar sempadan Melaka dan Negeri Sembilan datang dari kawasan Asahan, Jasin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!