Thailand sasar lima juta pelancong dari China
BANGKOK - Ketika pancaran bunga api menerangi langit di atas Wat Arun atau Temple of Dawn di Bangkok sebagai menandakan tahun baharu, Thailand mendambakan harapan supaya sektor pelancongan pulih pada tahun 2023.
Thailand dijangka menarik lebih 25 juta pelancong termasuk lima juta pelawat dari China tahun ini.
Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Yuthasak Supasorn berkata, Thailand mengunjurkan ketibaan sekurang-kurangnya 20 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak 2.38 trilion baht (AS$64.5 bilion) daripada sektor itu tahun ini, tidak termasuk pelancong dari China.
"Selepas China melonggarkan sekatan ketat Covid-19 mulai 8 Januari, kami menyemak semula sasaran (ketibaan pelancong). Kami mengunjurkan lima juta lagi pelancong China akan melawat Thailand tahun ini.
"Namun kami tidak menjangkakan ketibaan pelancong China di Thailand akan kembali ke tahap sebelum Covid-19 atau hampir sejuta sebulan pada 2019... Kami menjangkakan 50,000 hingga 100,000 pelancong sebulan pada suku pertama 2023.
"Jumlah itu akan meningkat secara beransur-ansur kepada dua kali ganda dan tiga kali ganda pada akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Thailand antara destinasi pelancongan paling popular di Asia, dikunjungi hampir 40 juta pelawat pada 2019.
Namun, industri pelancongan negara itu hampir merudum akibat pandemik Covid-19 yang memaksa kerajaan itu memperkenal syarat kemasukan yang ketat dan mahal.
Sepanjang 2022, Thailand menerima lebih 11.5 juta pelancong.
Negara lain termasuk Thailand kini bersiap sedia untuk menerima kemasukan pelancong China yang merupakan pasaran pelancong terbesar di dunia pada 2019.
Pelonggaran itu memberi harapan untuk pemulihan sektor pelancongannya namun situasi ini turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan terhadap ancaman kesihatan awam.
Yuthasak berkata, Kementerian Sukan dan Pelancongan Thailand serta Kementerian Kesihatan Awam akan mengambil langkah perlu untuk memastikan kemasukan pelancong China tidak menimbulkan ancaman kesihatan.
"Pemain industri pelancongan perlu membuat persiapan sewajarnya termasuk memastikan pekerja mereka mendapat suntikan penggalak susulan kepulangan pelancong China.
"Kami mungkin mengaktifkan semula protokol dan mekanisme tertentu untuk memastikan keselamatan awam,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa semua pelancong yang memasuki negara itu akan dilayan sama rata.
Kementerian Sukan dan Pelancongan, Kementerian Kesihatan Awam dan Kementerian Pengangkutan akan mengadakan mesyuarat pada 5 Januari untuk membincangkan persiapan kemasukan pelancong China. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!