Aliran bau punca LRA Semenyih, Bukit Tampoi dihenti tugas
SHAH ALAM - Penemuan aliran bau yang berpunca dari lokasi kemalangan pati minyak wangi 24 Disember lalu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas pada Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, kedua-dua LRA yang dihenti tugas antara empat hingga enam jam bermula 7 malam itu bertujuan sebagai kawalan pencegahan susulan penemuan aliran pencemaran bau di Sungai Semenyih.
"Penemuan kesan bau hingga bacaan enam ton adalah selepas hujan lebat petang semalam (Sabtu). Ia susulan aliran sisa yang tersangkut dan terserap di sekitar kawasan tumpahan tempoh hari serta di jajaran sungai di luar kawasan Selangor.
"Penelitian Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kesan tumpahan pati minyak wangi sebelum ini berkemungkinan telah meresap ke dalam persekitaran lokasi dan akan terlarut semula dengan aliran air terutama selepas hujan. Aliran sisa yang terlarut bersama air larian hujan ini seterusnya mengalir masuk ke Sungai Semenyih,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Loy Sian berkata, susulan pengesanan awal pencemaran yang berulang oleh LUAS pada 6.30 petang Sabtu, tindakan pencegahan awal dan pantas agensi kerajaan negeri berjaya dilakukan dan impak kepada operasi loji dapat diminimumkan.
Beliau berkata, antara usaha dilakukan ialah meningkatkan langkah nyah bau dengan penambahan karbon aktif (AC) oleh LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kira-kira 24 beg yang keseluruhannya dianggar satu tan.
"Pihak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sedang melaksanakan kerja-kerja penyedutan sisa baki aliran yang tercemar di lokasi.
"Agensi kerajaan negeri juga berterusan melakukan pemerhatian dan tindakan untuk mengesan tumpahan di lokasi terlibat,” katanya.
Media pada Sabtu melaporkan LRA Sungai Semenyih ditutup pada 7 malam susulan insiden pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
Sebelum ini, kemalangan yang membabitkan sebuah lori membawa muatan pati minyak wangi di KM44.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Elite) arah utara berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan, menjadi punca LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi ditutup pada pagi 24 Disember 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!