Penyudah Harimau Malaya perlu lebih tajam
HARIMAU Malaya bakal mengharungi tugas berat apabila berdepan Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini bagi mengesahkan slot ke separuh akhir Piala AFF 2022.
Singapura dilihat berada pada prestasi terbaik selepas melakukan kejutan mengikat Vietnam tanpa jaringan di Stadium Jalan Besar, Jumaat lalu.
Berbanding Harimau Malaya yang perlu menang sebaliknya keputusan seri sudah memadai buat skuad The Lions itu mengiringi Vietnam ke peringkat seterusnya.
Justeru, pemain Harimau Malaya tiada pilihan kecuali memulakan perlawanan dengan rentak agresif serta menyerang dan dalam masa sama memanfaatkan setiap peluang yang terhidang.
Jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim berkata, Harimau Malaya juga tidak perlu untuk gerun dengan Singapura apatah lagi beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.
“Peluang masih terbuka untuk skuad negara dengan syarat mereka memperagakan aksi 100 peratus untuk melakar kemenangan ke atas Singapura.
“Barisan serangan yang diterajui Faisal Halim dan Sergio Aguero juga perlu setajam mungkin kerana saya percaya Singapura akan beraksi dengan corak permainan lebih bertahan kerana mereka hanya perlu seri.
“Jadi, apa yang menentukan keputusan pada malam Selasa itu adalah aksi yang akan diberikan oleh para pemain selain taktikal yang akan diterapkan oleh Kim Pan-gon,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Ketika ini, skuad kendalian Pan-gon itu berada di kedudukan ketiga kumpulan dibezakan satu mata dengan Singapura di kedudukan kedua dan Vietnam selaku pendahulu.
Irfan Bakti juga percaya Harimau Malaya mempunyai kualiti yang baik berdasarkan dua kemenangan ke atas Myanmar dan Laos walaupun tidak dibarisi pemain utama dalam kejohanan itu.
“Dalam perlawanan dengan Vietnam, kita tidak bermain dengan buruk. Tetapi, kita kalah kerana ada 'unsur' lain mengganggu rentak Harimau Malaya.
“Singapura pula tidaklah sebagus tujuh atau lapan tahun lalu kerana mereka juga dibarisi ramai pemain muda.
“Namun, dalam keghairahan kita beraksi agresif, kita juga perlu berwaspada dengan serangan balas mereka yang akan menghukum kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!