Covid-19: 'Jangan tunggu vaksin bivalen'

Pengambilan dos penggalak kedua adalah sebagai sebahagian langkah KKM meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara. -Gambar fail
Pengambilan dos penggalak kedua adalah sebagai sebahagian langkah KKM meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara. -Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian.

Ia sebagai sebahagian langkah KKM untuk meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19.

"KKM amat berharap, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia yang telah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus sahaja yang telah mengambil vaksin dos penggalak kedua.

"Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin Covid-19 berkesan bagi memberi perlindungan dari mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus Covid-19 dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital.

"Selain itu, tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Ubatan baru-baru ini.

"Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, jelasnya, dengan pelanjutan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara (health border measures) serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

"Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China, bahkan yang tiba dari semua negara di dunia.

"KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan," ujarnya. - Awani

Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!