Potter kecewa persembahan buruk Chelsea
CHELSEA melepaskan peluang meraih mata penuh selepas sekadar seri 1-1 dengan Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Isnin.
Raheem Sterling membuka tirai jaringan buat Chelsea pada minit ke-16, namun Serge Aurier menyamakan kedudukan pada minit ke-63 untuk memberikan satu mata berharga kepada pasukan tuan rumah.
Pengendali Chelsea, Graham Potter menyifatkan pasukannya gagal tampil pada prestasi terbaik dalam perlawanan itu.
"Kami mendapat satu mata dalam perlawanan yang sukar menentang pasukan yang sistematik. Saya beri kredit kepada lawan kerana mereka menggunakan suasana dan pada separuh masa kedua mereka beri tekanan kepada kami.
"Tahap prestasi kami tidak cukup baik dan saya tidak fikir kami berhak untuk menang. Apabila kami mengawal permainan, kami tidak menggerakkan bola dengan cukup pantas dan kemudian sukar untuk kembali dalam perlawanan," katanya,
Dalam masa sama, Potter juga menyifatkan pasukannya seperti hilang arah termasuk ketika memastikan bola berada dalam kawalan pasukan.
"Apabila kami mengawal permainan, kami tidak melakukan dengan baik dan apabila permainan menjadi tidak terkawal, kami menderita dengan dua pemain dan bergelut untuk menangani aspek itu.
"Akhirnya, ia adalah perlawanan yang sukar, seboleh-bolehnya kami perlu mengkritik diri sendiri. Nottingham Forest juga bermain dengan baik.
"Tetapi, kami kecewa dengan tahap prestasi kami sepanjang 90 minit dan boleh mengatakan kami tidak layak memenangi perlawanan itu," katanya.
Keputusan seri itu meletakkan Chelsea di kedudukan kelapan dan dibezakan tujuh mata dengan Manchester United di kedudukan keempat.
"Bagi kami, ia adalah mengenai perlawanan seterusnya dan cuba untuk memperbaiki persembahan sekiranya mahu berada dalam kelompok empat terbaik.
"Kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya dan pastikan tahap prestasi kami lebih baik serta konsisten," kata Potter lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!