[VIDEO] Tampar pemain: Siasatan bebas, menyeluruh perlu dibuat

Tular video seorang jurulatih yang bertindak menampar dua pemain bola tampar perempuan.
Tular video seorang jurulatih yang bertindak menampar dua pemain bola tampar perempuan.
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta satu siasatan bebas dan menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan mangsa yang ditampar jurulatih dalam satu insiden semasa kejohanan sukan itu baru-baru ini mendapat keadilan sewajarnya.

Menerusi kenyataan Wanita PKR pada Isnin memaklumkan ia turut memberi pengajaran kepada jurulatih lain selain memastikan kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi.

"Kami memandang serius insiden berkenaan dan mengecam tindakan jurulatih itu kerana merupakan satu serangan jenayah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Malahan berpendapat bahawa tindakan tersebut merupakan satu eksploitasi kepada kanak-kanak di bawah umur.

"Satu siasatan bebas dan menyeluruh hendaklah dibuat oleh Polis Diraja Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta organisasi-organisasi sukan yang terlibat bagi memastikan mangsa insiden berkenaan mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya.

Sebelum ini, hangat diperkatakan di media sosial berhubung satu video yang memaparkan tindakan seorang jurulatih pasukan bola tampar Melaka menampar pemainnya.

Jurulatih itu dipercayai berbuat demikian kerana pemain terbabit menyebabkan pasukan berkenaan kehilangan dua mata sebelum tempoh rehat permainan.

Kejadian dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja (Bawah 14 tahun) B-14 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, siasatan tersebut juga memberi satu mesej yang jelas bahawa kekerasan dan penderaan fizikal bukanlah sesuatu yang normal.

"Ia tidak patut diamalkan oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak di bawah umur yang sepatutnya mendapat sokongan dan perlindungan," ujarnya.

Jelas kenyataan itu lagi, Wanita PKR menyeru agar mana-mana pemain yang pernah menghadapi situasi sedemikian untuk tampil ke hadapan dan mendapatkan bantuan daripada pihak yang sepatutnya.

"Jaminan perlindungan hendaklah diberikan kepada mangsa supaya isu tersebut tidak ditutup atau digelapkan oleh mana-mana pihak," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!