'Cekal lawan kanser selagi nyawa dikandung badan'
SHAH ALAM - Ibu empat anak, Noor Azizah Maznan, 46, berharap suaminya, Norizam Rusni, 48, akan terus cekal melawan penyakit kanser hidung untuk kembali sihat selagi nyawa dikandung badan.
Noor Azizah berkata, suaminya menderita kanser hidung bermula Ogos lalu dan kini pada tahap tiga serta tidak lagi dapat menelan makanan selain bergantung sepenuhnya kepada susu khas.
Menurut ibu empat anak itu, susu khas diberikan menggunakan saluran tiub melalui hidung sebanyak empat kali sehari, suaminya turut menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.
"Suami yang disahkan menghidap kanser pangkal hidung Ogos lalu sudah menjalani enam rawatan kemoterapi dan 21 rawatan radioterapi di Pusat Perubatan di Universiti Malaya sehingga kini.
"Saya mengakui kesihatannya makin merosot dan kadang kala keperluannya perlu diuruskan termasuk memberi susu, pilu rasa hati melihat dia menanggung derita dan kesakitan.
"Bukan itu sahaja, kesan rawatan radioterapi juga lebih teruk berbanding kesakitan kanser kerana leher suami juga seolah-olah terbakar dan melecur," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Noor Azizah yang menetap di Taman Sri Rantau 2, Jalan Sungai Saim, Klang itu berkata, suaminya masih bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang elektronik dan ketika ini dalam tempoh cuti sakit.
Katanya, apabila suami disahkan menghidap penyakit itu, dia merasakan dunianya seakan gelap seketika kerana sebelum ini suaminya sentiasa dalam keadaan sihat dan ceria.
"Saya sekeluarga sentiasa berdoa dan berharap suami dapat terus bertahan dan melawan penyakit ini sehingga sembuh semula seperti sedia kala," katanya.
Pada Sabtu, keluarga berkenaan turut menerima lawatan dan sumbangan sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Suri dan Pusat Zakat Selangor serta pihak pengurusan kampung.
Sementara itu, wakil NGO Suri, Zubaidah Salleh, 36, berkata, pihaknya turut memberi khidmat nasihat kepada pesakit selain menghulurkan sedikit sumbangan untuk ketua keluarga berkenaan.
Dalam pada itu, NGO Suri juga berharap sekiranya ada pihak yang ingin membantu boleh menghubungi talian 60194674734 untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!