Mengucap panjang bila tahu ada budak dalam rumah - Jiran

Keadaan rumah yang terbakar dalam tragedi yang mengorbankan dua beradik di Jalan Dewan Simpang Tiga, Gombak Selangor pada Isnin. Gambar kecil: Rahmat
Keadaan rumah yang terbakar dalam tragedi yang mengorbankan dua beradik di Jalan Dewan Simpang Tiga, Gombak Selangor pada Isnin. Gambar kecil: Rahmat
A
A
A

GOMBAK - "Ya ALLAH, ada budak dalam tu," getus salah seorang jiran mangsa kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan dua beradik di Jalan Dewan Simpang Tiga, Gombak Selangor di sini pada Isnin.

Rahmat Ghazali, 33, berkata, dia bersama jiran yang lain cuba memecahkan tingkap dan pintu namun gagal disebabkan berkunci.

"Dalam jam kira-kira 3.15 pagi, saya cuba buka pintu kaca hadapan, tapi tak dapat nak masuk dalam sebab jeriji rumah dikunci.

"Saya juga menjerit memanggil kerana sangkakan tiada sesiapa di dalam, bila jiran maklum ada dua anak mangsa di dalam saya mengucap panjang," katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian di sini pada Isnin.

Katanya, cubaan dia bersama beberapa rakan untuk masuk ke dalam rumah gagal disebabkan api mulai marak.

"Masa awal kejadian, boleh lagi dekat dengan rumah yang terbakar, sebab api belum marak. Tapi sekitar jam 3.30 pagi, dah tak boleh nak dekat sebab bahang.

"Saya terkedu masa tu sebab tak mampu nak selamatkan mereka berdua, ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Muhammad Tarmizi Pauzi, 33, berkata, isterinya menelefon ibu kepada kedua beradik itu memaklumkan bahawa rumah mereka terbakar.

Muhammad Tarmizi menunjukkan keadaan rumahnya yang terbakar dalam kejadian di Jalan Dewan Simpang Tiga, Gombak Selangor pada Isnin.
Muhammad Tarmizi menunjukkan keadaan rumahnya yang terbakar dalam kejadian di Jalan Dewan Simpang Tiga, Gombak Selangor pada Isnin.

"Masa itu baru kami semua tahu kedua mangsa ada di dalam, awalnya kami sangka mereka berdua ikut ayah dan ibu mereka keluar makan," katanya.

Selain rumah mangsa, dua lagi rumah termasuk rumah didiami Muhammad Tarmizi bersama isteri dan anak perempuannya serta rumah jirannya turut musnah dalam kebakaran awal pagi itu.

Muhammad Tarmizi berkata, biarpun barangan dan peralatan rumahnya musnah, dia bersyukur kerana terselamat.

"Saya bersyukur kerana kami selamat namun dalam masa sama sedih apabila kedua-dua mangsa meninggal dunia.

"Memang tak mampu ungkap apa-apa, sebab barangan dan peralatan saya tak dapat selamatkan," katanya.

Pada Isnin, dua kanak-kanak rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanggut, di sini.

Kebakaran turut melibatkan dua unit rumah bersebelahan.

Kebakaran turut melibatkan dua unit rumah bersebelahan.
Kebakaran turut melibatkan dua unit rumah bersebelahan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Syaza Alfisya, 10, dan adik lelakinya berusia tujuh tahun, Muhammad Al Qayyum ditemukan rentung.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.53 pagi.

"Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang termasuk Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!